Soalan : Mohon pandangan SS Mufti tentang hukum memberikan zakat kepada mangsa banji
Jawapan : Dalam hal ini, perkara yang perlu difahami setiap mangsa
kebiasaannya dalam keadaan amat memerlukan bantuan mengikut kadar
kemusnahan yang dialami. Boleh jadi aset atau harta bendanya ranap
sebahagian kecil, sebahagiannya atau musnah keseluruhannya.
Dalam hal ini, marilah sama-sama kita memahami firman Allah SWT daripada Surah al-Taubah ayat 60.
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ
عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ
وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ
وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٦٠
﴾Maksudnya : Sesungguhnya
sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan
orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang
muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak
memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk
(dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang
keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah)
sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Ayat ini menunjukkan
bahawa golongan yang berhak menerima zakat hanya lapan golongan sahaja.
Jumhur fuqaha’ berpendapat tidak harus diberikan kepada selain daripada
yang dinaskan al-Qur’an iaitu lapan golongan ini.
Mazhab Syafi’i
menetapkan bahawa wajib dibahagi kepada semua yang ada dalam kalangan
asnaf yang berhak menerima zakat. Sedangkan mazhab yang lain memadai
dengan sekumpulan daripada golongan yang berhak menerima zakat sahaja.
Ini juga difatwakan oleh Ibn Ajil al-Asma’ie dan ramai dalam kalangan
ulama’ mutakihr kerana sukar mencari lapan asnaf. Inilah yang disebutkan
dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin.
Berkenaan dengan isu di
atas, sebahagian ulama’ menganggap bahawa ia adalah bencana yang
menyebabkan hartabenda mereka musnah dan memerlukan kepada bantuan serta
berhutang samada untuk diri mereka atau keluarga mereka.
Justeru, kebanyakan ulama’ memasukkan golongan seperti ini dalam asnaf
al-gharimin iaitu orang yang berhutang. Sebahagian ulama’ mensyaratkan
jenis hutang ini adalah yang bersifat darurat dan keperluan dan bukan
untuk kemewahan atau berfoya-foya.
Oleh kerana itulah kami
menyatakan bahawa harus diberi zakat kepada golongan yang terkena
mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh,
gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman
mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki.
Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan al-gharimin yang berhak
menerima zakat.Selain daripada nas di atas, jika dilihat kepada tafsiran
ulama’ antaranya Mujahid yang berkata :
3 golongan boleh dikategorikan sebagai al-gharimin iaitu
Lelaki yang hartanya dihanyut oleh banjir atau bah.
Lelaki yang ditimpa kebakaran yang menyebabkan musnah hartanya.
Lelaki yang mempunyai tanggungan dan tiada baginya harta untuk dia infakkan kepada tanggungannya.
Kenyataan seperti di atas oleh Mujahid adalah bertepatan dengan hadith
yang sahih yang dinyatakan daripada Qabisah bin Mukhariq al-Hilali yang
berkata :
“Aku telah menanggung bebanan yang banyak lantas aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda mafhumnya :
‘Tetaplah kamu di sini sehingga datang kepada kami sedekah dan kami akan perintahkan supaya diberi kepadamu’.
Kata Qabisah : ‘Kemudian Baginda SAW bersabda : ‘Hai Qabisah!
Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan
sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta
sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa
bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga
mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau
menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga
datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya
mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya
meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya.
Hai Qabisah!
Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan
memakannya adalah haram.”
(Riwayat Muslim, no. 1044)
Imam al-‘Azim al-Abadi menyatakan:
“Siapa yang ditimpa hartanya dengan sebab kebinasaan daripada langit
atau bumi seperti kesejukan, air batu, tenggelam dan seumpamanya yang
menyebabkan tiada lagi baginya barangan untuk hidup maka haruslah
baginya meminta sehingga dapat menyelesaikan kehidupannya semula.” [Aun
al-Ma’bud 3/36]
Beberapa ulama’ telah memberi fatwa antaranya Dr.
Yusuf al-Qaradhawi yang berkata : “Aku khususkan yang mengenai sifat
al-gharimin bagi golongan yang terkena bencana alam sehingga binasa
harta bendanya dan terpaksa kepada berhutang maka hukumnya dibolehkan.
[Fiqh al-Zakat 2/623]
Begitu juga dengan Dr. Husamuddin bin Musa
‘Iffanah, Profesor Fiqh dan Usul dari Universiti al-Quds, Palestin yang
menyatakan hukumnya adalah harus diberikan kepada golongan seperti
ini.Saya berpendapat harus untuk memberi zakat kepada mereka,
sebagaimana pendapat-pendapat yang dikemukakan dan saya cenderung untuk
mencadangkan supaya hendaklah diberi kepada Baitulmal, seterusnya
Baitulmal akan mengenalpasti golongan yang benar-benar terdesak dan
memerlukan bantuan dengan membuat anggaran kerosakan yang ditanggung dan
juga keperluan yang dihajatinya.
Ini kerana, jika diberi secara
langsung dengan kuantiti yang banyak, dibimbangi sebahagian sahaja yang
memperolehnya sedangkan sebahagian yang lain tidak mendapat walaupun
sedikit.
Justeru, pasti rasa tidak selesa akan terwujud pada
kebanyakan golongan yang ditimpa bencana yang tidak dapat apa-apa
bantuan atau bantuan yang tidak mencukupi.
Baitulmal hendaklah
menggerakkan tenaganya dengan seupaya mungkin bagi menyelesaikan kemelut
tersebut dengan secepat mungkin kerana keperluan untuk hidup adalah
bersifat segera.
Semoga jawapan ini dapat memberi pencerahan
kepada yang bertanya dalam menyalurkan bantuan berupa zakat ataupun
infaq yang lain bagi membantu saudara-saudara seIslam yang terbabit
dalam bencana seperti banjir dan lain-lain.
Wallahua’lam
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan